Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan kementerian yang saya kira paling besar dan paling banyak peruntukan kewangan tahunan. Ini kerana ianya mempunyai staf yang paling ramai iaitu guru-guru diseluruh Malaysia ditambah pula pihak pentadbiran di Jabatan Pelajaran (JPN) setiap negeri dan Pejabat Pelajaran (PPD) di setiap daerah. Kementerian ini juga mempunyai 'pelanggan' yang paling ramai iaitu para pelajar dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah.
Tanpa kita sedari sebenarnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan persatuan yang terbesar di Malaysia. Persatuan yang mempunyai keahlian yang paling ramai di Malaysia! Bayangkan hampir setiap rumah di Malaysia mempunyai wakil yang menjadi ahli kepada PIBG. Hampir tiada rumah yang tidak ada mereka yang berstatus ibu atau bapa. Kerana setiap keluarga (saya rasa lebih kurang 90 peratus keluarga) sememangnya mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah rendah ataupun menengah. Ditambah pula semua guru yang terdapat di Malaysia juga adalah ahli PIBG di sekolah masing-masing.
Para ibu dan bapa ini terdiri daripada berbagai agama, bangsa mahupun keturunan. Mereka terdiri daripada berbagai parti politik samada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PAS, DAP, PKR dan banyak lagi. Ini membayangkan bahawa ahli persatuan ini melebihi ahli mana-mana parti politik yang terdapat di Malaysia! Mereka terdiri daripada berbagai kategori pekerjaan samada dari peringkat buruh, nelayan atau petani mahupun sehingga setinggi-tinggi pegawai kerajaan. Namun begitu selalunya para ibubapa ini terlupa bahawa mereka adalah ahli persatuan ini. (Bagi sesetengah sekolah para ibu bapa selalunya jarang menghadiri mesyuarat agung tahunan).
Dengan wujudnya laman blog SuaraPIBG ini, diharapkan para ibubapa serta guru-guru, iaitu sebagai ahli PIBG seluruh negara agar sentiasa mengunjungi serta mengikuti perkembangan blog ini dan menyumbang tulisan-tulisan yang berupa komen-komen yang dapat memberi panduan kepada kemajuan para pelajar yang merupakan anak-anak kita yang belajar di institusi sekolah yang terdapat di serata Malaysia.
Kepada para pelajar juga, sangatlah digalakkan agar sentiasa memberi komen membina kepada para ibubapa serta guru atau melepaskan rasa tidak puashati mereka melalui blog ini. Dengan itu akan dapat dijadikan panduan kepada ibubapa dan guru dalam membentuk anda semua menjadi penyambung generasi akan datang.
Kepada semua Yang Dipertua-Yang Dipertua serta ahli-ahli jawatankuasa PIBG bagi sekolah-sekolah seluruh Malaysia, uruskanlah persatuan ini dengan sebaik mungkin. Bekerjasamalah dengan pihak pentadbiran sekolah terutama dengan pengetua-pengetua (sekolah menengah) dan gurubesar-gurubesar (sekolah rendah). Wujudkan suasana mesra dan muafakat antara semua ahli. Jadikanlah persatuan ini di sekolah tuan sebagai persatuan yang relevan. Ingatlah PIBG ini kiranya digabungkan antara sekolah-sekolah seluruh Malaysia merupakan persatuan yang terbesar di Malaysia!.
'YDP SuaraPIBG'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment