Pihak pentadbiran sekolah selalunya menjemput VIP-VIP tertentu bagi merasmikan acara-acara yang diadakan di sekolah. Pengetua atau Gurubesar akan berbincang dengan Yang Dipertu PIBG bagi memilih VIP mana yang sesuai bagi berbagai majlis di sekolah.
Dalam sehari dua ini pihak PIBG difahamkan bahawa kerajaan pusat tidak membenarkan pegawai-pegawai dari negeri yang diperintah oleh pembangkang daripada menghadiri majlis yang diadakan oleh pihak sekolah. Dalam kes ini ianya melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor.
Dua persoalan utama, Pertama, adakah desas-desus ini memang benar? Kedua, bagaimana untuk memastikan pegawai-pegawai kerajaan pusat yang ada di negeri-negeri tersebut mencukupi bagi memenuhi kesemua jemputan sekolah-sekolah memandangkan banyak berlaku pertindihan jadual majlis dalam sesuatu masa tertentu.
Dalam keadaan dimana semasa pentadbiran negeri tidak dibawah pembangkang pun, ramai pegawai-pegawai atau VIP-VIP yang dijemput selalu tidak dapat menghadirkan diri kerana alasan banyak majlis lain atau bertindan dengan program lain.
Selalu berlaku dimana kebanyakan majlis yang diadakan oleh pihak sekolah, Yang Dipertua sendiri yang terpaksa menjadi perasminya. Seringkali juga hanya sekadar wakil-wakil sahaja yang dihantar pada saat-saat akhir.
Menurut beberapa sekolah dan PIBG masing-masing, apa yang dikemukakan disini bukanlah bermaksud untuk menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak, tetapi inilah keadaan yang berlaku. Ini menyukarkan kebanyakan sekolah terutama di negeri-negeri seperti di Selangor, Perak dan Kelantan, dimana terdapat lebih kurang 1000 sekolah bagi setiap negeri tersebut.
Kalau pihak sekolah atau PIBG menjemput pegawai-pegawai dari Kementerian Pelajaran, mampukah mereka 'turun' ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia yang bilangannya melebihi 10,000 buah sekolah!
Pihak pentadbiran sekolah dan PIBG mengharapkan pertimbangan dan penjelasan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang terbabit dalam menentukan polisi ini. Diharapkan memo penjelasan dari pihak kementerian atau jabatan diedarkan secepat mungkin mengenai desas-desus ini. Ini bagi mengelakkan berlaku silap faham apabila pihak sekolah atau PIBG menjemput 'individu tertentu' bagi merasmikan sesuatu majlis tertentu.
'Suara Ibu Bapa dan Guru-guru'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment